PRN Sabah: 'Itu pandangan Bung Moktar' - Hajiji

TUARAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerjasama UMNO-Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang hanya akan dipertimbangkan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sebagai pandangan beliau sahaja.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, gabungannya itu setakat ini belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju kerjasama untuk menghadapi PRN17.

"GRS belum lagi buat sebarang keputusan. Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN17.

"Ini termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan kerusi dan lain-lain," katanya pada majlis penyerahan sumbangan lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik di sini pada Khamis.

Bercakap mengenai majlis tersebut, Hajiji berkata, ibadah korban bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, tetapi juga sebagai medium pengukuhan perpaduan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.

"Ibadah korban membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam.

"Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian," katanya.

Sebelum itu, sebanyak 200 lembu diagihkan kepada wakil masjid dan surau kawasan Parlimen Tuaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi negeri dan daerah.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.