'Saya terima kenyataan keahlian UMNO masih digantung' - Shahelmey

PUTATAN - Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya menerima secara terbuka keputusan keahliannya dalam UMNO masih berstatus digantung susulan penjelasan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika lawatannya ke Sabah baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, walaupun tidak pernah menerima sebarang surat rasmi mengenai pergantungan tersebut, beliau tetap menerima kenyataan itu memandangkan ia disahkan sendiri oleh Presiden parti.

"Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, saya tidak pernah menerima surat penggantungan keahlian UMNO.

"Tetapi apabila Presiden parti pada baru-baru ini dalam lawatannya ke Sabah sudah menyatakan bahawa keahlian saya digantung, maka saya terimalah.

"Itu kenyataan presiden, siapa lagi yang mahu menyanggah kenyataan daripada Presiden. Jadi saya terima kenyataan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Putatan di Pejabat Daerah Putatan, di sini pada Selasa.

Shahelmey sebelum ini dikatakan telah digantung keahlian selama enam tahun namun beliau mendakwa tidak pernah menerima surat penggantungan tersebut.

Keputusan penggantungan itu dipercayai diambil susulan tindakan Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023.

Ia bertentangan dengan pengumuman Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah telah menarik semula sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Situasi penggantungan keahlian Shahelmey menimbulkan persoalan susulan Akta Anti Lompat Parti yang telah dikuatkuasakan, memandangkan Shahelmey merupakan ADUN yang bertanding atas tiket BN sebelum ini dan kemungkinan beliau tidak dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan penggantungannya itu.

Dengan PRN Sabah dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan lagi, status pergantungan itu memberi implikasi besar kepada kedudukannya sebagai penyandang.

Sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding menggunakan tiket parti lain atau sebagai calon Bebas, ia secara langsung boleh menyebabkan kekosongan kerusi Parlimen Putatan, sekali gus memerlukan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kerusi tersebut.

Akta tersebut yang digubal bagi menghalang tindakan wakil rakyat bertukar parti sesuka hati turut menetapkan bahawa sebarang perbuatan meninggalkan parti yang diwakili ketika pilihan raya lalu boleh menyebabkan kerusi parlimen disandang dikosongkan.