Isu Akta PSB: Pemuda UMNO Selangor tubuh jawatankuasa khas

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemuda UMNO Selangor menubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk mengkaji secara menyeluruh dan mencadangkan penambahbaikan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang didakwa tidak menjamin kepentingan pemilikan Melayu dan bumiputera di kawasan pembangunan bandar.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau sendiri dan akan mengemukakan cadangan rasmi kepada pihak kerajaan dalam masa terdekat.

“Akta PSB seperti yang sedia ada belum cukup melindungi komposisi pemilikan Bumiputera dalam pembangunan baharu.

"Pemuda UMNO mahu menjadi suara yang memperjuangkan kepentingan ini secara serius,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO Negeri Selangor di sini malam Isnin.

Dalam masa sama, Imran mengumumkan pengaktifan semula Skuad Tempur Pemuda Selangor (STEP) sebagai pasukan barisan hadapan yang akan mendepani isu-isu rakyat, khususnya generasi muda Melayu di negeri ini.

“STEP akan bertindak sebagai benteng dan jurubicara dalam isu yang menyentuh orang Melayu, Islam serta Institusi Raja-Raja Melayu,” tegasnya.