'Saya setia dalam perjuangan PKR' - Kar Hing

IPOH - Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing menegaskan kesetiaannya terhadap perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menolak dakwaan kononnya beliau antara pemimpin yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Kar Hing, penyebaran berita berhubung dakwaan tersebut merupakan fitnah jahat yang dilakukan individu yang pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini.

"Pendirian saya masih teguh bersama dalam perjuangan PKR. Idealisme saya masih sama seperti dahulu, bukan berjuang demi jawatan dan nama peribadi tetapi demi rakyat dan tanah air yang tercinta," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menyifatkan, penyebaran dakwaan tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo itu sebagai fitnah politik murahan yang berniat jahat.

"Tidak benar sama sekali ada usaha penarikan sokongan terhadap PMX (Anwar). Tiada seorang pun," tegasnya.

Bekas Exco Kerajaan Perak itu turut menyelar tindakan mengaitkan dirinya dengan mana-mana gerakan khianat seperti yang berlaku dalam peristiwa Langkah Sheraton.

"Jangan kaitkan saya dengan tindakan pengkhianatan Si Kitol seperti apa yang berlaku pada Langkah Sheraton. Bukan semua ahli politik bersikap seperti mereka," tambahnya.

Ditanya sama ada akan membuat laporan polis terhadap penyebar fitnah terbabit, beliau memaklumkan tiada cadangan ke arah itu kerana sedang terikat dengan urusan rasmi di luar negara.

"Setakat ini tiada cadangan untuk buat laporan polis kerana saya terikat dengan komitmen lain dan perlu berangkat ke luar negara untuk urusan rasmi," katanya.

Sebelum ini, tular paparan mendakwa 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Anwar. Ia susulan pengumuman Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan.