SELAYANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menepis khabar angin bahawa beliau akan melepaskan jawatan disandangnya itu bagi memberi laluan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang didakwa bakal mengambil alih pentadbiran negeri.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata, beliau telah meminta Tengku Zafrul agar mendoakan dirinya supaya terus kekal sebagai Menteri Besar.
“Spekulasi ini sudah lima tahun lepas. Alhamdulillah, saya masih kekal dan semalam pun saya sempat ziarah Tengku Zafrul sebelum beliau berangkat ke Makkah.
“Beliau tanya doa apa saya nak kirim, saya minta beliau doakan saya kekal di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas Program Mylesen (B2) Peringkat Negeri Selangor 2025 di Dewan Seri Siantan di sini pada Sabtu.
Sebelum ini dilaporkan, Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Spekulasi berkenaan semakin hangat diperkatakan selepas berlaku dua kekosongan Kabinet pada 28 Mei lalu susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, peralihan kuasa tidak akan berlaku termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk memilih Menteri Besar Selangor baharu dalam masa terdekat.
“Saya tak rasa dalam tempoh dua tahun terakhir kita nak buat PRK, kemudian kita nak dapatkan mandat baharu sementara kita nak tukar Menteri Besar.
“Kita ada dua tahun lagi ke hadapan, jadi banyak lagi perkara yang wajar kita pertimbangkan. Fokus kita sekarang pilihan raya negeri Sabah iaitu bagaimana memperkukuhkan pasukan Kerajaan Perpaduan. Ini antara kerja-kerja segera yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kesediaan untuk menyertai Jemaah Menteri, Amirudin berkata, perkata itu hanya akan diputuskan apabila tiba masanya.
“Kita tengok keadaan, kita bina jambatan sampai ke sungai nanti. Maknanya kita bincang bila sampai masa dan buat masa ini kita jalankan tugas macam biasa.
“Sebab tiada lagi perbincangan atau pun arahan dan sebagainya, ia ikut pelbagai proses,” katanya lagi.