Lantik Menteri Ekonomi baharu sebelum RMK13 dibentang - Ahmad Maslan

PONTIAN – Perdana Menteri disaran melantik Menteri Ekonomi yang baharu sebelum pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat yang dijadual pada Julai ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dokumen penting seperti RMK13 perlu diurus secara teliti dan tersusun memandangkan ia membabitkan hala tuju ekonomi negara untuk lima tahun akan datang.

“Rancangan Malaysia Ke-13 telah disediakan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan kebiasaannya dibentangkan oleh Perdana Menteri.

"Namun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, pada Jumaat.

Pada Mac lalu, Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa penyediaan dokumen RMK13 sedang dimuktamadkan sebelum dibentangkan di Parlimen pada Julai.

Ahmad, yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, turut merakamkan penghargaan kepada Rafizi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad atas khidmat mereka dalam Kabinet.

“Sebagai rakan, saya ucapkan terima kasih atas khidmat mereka. Keputusan itu adalah keputusan dalaman parti mereka,” katanya.

Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai, susulan kekalahan mereka dalam Pemilihan PKR 2025 minggu lalu. Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden, manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Ahmad Maslan menegaskan bahawa Perdana Menteri mempunyai prerogatif penuh untuk memilih pengganti, sama ada dari PKR atau parti lain.

“Itu terpulang kepada Perdana Menteri. Namun, logiknya pimpinan PKR tentu mahu kekosongan itu diganti dengan calon dari parti mereka,” ujarnya.

Beliau turut menjangka bahawa pelantikan baharu akan dibuat selepas tamatnya tempoh cuti kedua-dua menteri tersebut.

Pada Khamis, Anwar memaklumkan bahawa beliau masih belum memutuskan pengganti Rafizi dan Nik Nazmi kerana mereka masih bercuti.

Rafizi memulakan cuti tahunan pada 28 Mei sebelum peletakan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun, manakala Nik Nazmi akan bercuti sehingga 4 Julai.

Sementara itu, Ahmad Maslan menegaskan bahawa UMNO memilih untuk tidak mencampuri urusan dalaman PKR dan lebih selesa mengambil pendekatan memerhati dari jauh.

“UMNO hanya memerhati. Namun rakyat mungkin melihat dengan lebih dekat apa yang berlaku,” katanya.