SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) berpendirian bahawa isu peletakan jawatan menteri merupakan soal dalaman antara individu tersebut dengan Perdana Menteri.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, hanya Perdana Menteri berhak memuktamadkan hal tersebut setelah menyembah perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong selaras peruntukan Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya terdapat kekosongan Kabinet sekalipun, penggantian menteri atau rombakan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri yang perlu dihormati semua pihak.
“Oleh demikian, semua pihak diseru untuk tidak membincangkan isu ini secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Susulan pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, pelbagai spekulasi timbul termasuk khabar angin tentang rombakan Kabinet dan beberapa individu disebut-sebut bagi mengisi kekosongan di dua kementerian berkenaan.
Antara nama-nama bagi mengisi kuota Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah Nurul Izzah Anwar yang menang pada pemilihan parti bagi jawatan Timbalan Presiden baru-baru ini dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan selepas menang jawatan Naib Presiden.
Selain itu Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut disebut-sebut akan dibawa masuk ke dalam Kabinet atas pertimbangan kemenangannya sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz mengingatkan ahli dan penyokong Amanah untuk merujuk isu berkenaan melalui kenyataan rasmi parti yang dikeluarkan oleh Presiden ataupun atas Setiausaha Agung.