Puad Zarkashi henti serang Nurul Izzah – PKR

JOHOR BAHRU – Ketua PKR Cabang Pulai, Faezuddin Puad menggesa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya menghentikan serangan terhadap pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya Timbalan Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Faezuddin, kenyataan yang dikeluarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu kebelakangan ini disifatkan tidak berasas dan memperlekeh, selain berpotensi mencetuskan ketegangan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kali ini beliau menyerang Timbalan Presiden PKR, sedangkan Nurul Izzah sedang menunjukkan contoh kepimpinan berjiwa besar tanpa menyerang peribadi dan sentiasa menghargai sumbangan rakan seperjuangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Faezuddin, meskipun berlaku pertandingan dalam pemilihan parti, Nurul Izzah tetap menjunjung prinsip politik matang dan tidak mengetepikan semangat setiakawan.

“Buktinya, Nurul Izzah memberi jaminan akan mengangkat segala sumbangan dan idea Datuk Seri Rafizi Ramli yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa budaya politik matang sentiasa diamalkan dalam PKR dan menolak dakwaan wujudnya "drama politik" sebagaimana dibangkitkan Puad Zarkashi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit.

“Puad Zarkashi sepatutnya hentikan drama politik ini dengan tidak lagi menyerang parti rakan dalam kerajaan. Hakikatnya, drama rekaan beliau hanya mengeruhkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan dan boleh menjejaskan kestabilan.

“Sudah-sudahlah,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Puad Zarkashi dilaporkan menegur kenyataan Nurul Izzah yang mahu meneruskan dasar serta idea yang dikaitkan dengan Rafizi selepas pemilihan parti.

Dalam satu hantaran di Facebook, Puad turut mempersoalkan sama ada wujud gagasan besar yang pernah diketengahkan oleh Rafizi sehingga wajar dipertahankan secara terbuka oleh Nurul Izzah.