SHAH ALAM – UMNO menegur tindakan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan yang menerima keahlian daripada ahli parti lain tanpa pertimbangan sewajarnya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut tidak wajar dilakukan kerana boleh menjejaskan keharmonian dalam gabungan tersebut.
Menurutnya, tindakan seperti itu hanya akan mencetuskan prejudis dan prasangka dalam kalangan ahli akar umbi.
“Adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain sewenang-wenangnya.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tengku Zafrul berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa UMNO belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Zafrul.
“Merujuk kepada kenyataan Tengku Zafrul di dalam laman sosial peribadi beliau, UMNO sehingga saat ini belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan.
“UMNO memandang serius niat peletakan jawatan beliau kerana ingin menyertai PKR,” ujarnya.