SHAH ALAM - Pemohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi untuk merujuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther didakwa tidak berasas.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu, Na’im Brundage berkata, ia kerana permohonan dalam Perkara 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan itu hanya merujuk kepada kuasa eksekutif dalam urusan pentadbiran negara.
Beliau berkata, ia tidak memperuntukkan sebarang imuniti kepada Perdana Menteri atau mana-mana anggota pentadbiran lain.
"Kami juga mengambil maklum bahawa permohonan ini turut merujuk kepada Perkara 5(1), namun peruntukan tersebut pula jelas bertujuan untuk melindungi kebebasan individu daripada penahanan atau sekatan secara tidak sah oleh pihak berkuasa.
"Ia tidak relevan untuk dijadikan asas oleh perdana menteri bagi mengelakkan tindakan saman sivil yang melibatkan dakwaan salah laku peribadi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.
Permohonan itu termasuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Dalam pada itu, Na’im menjelaskan, permohonan tersebut juga adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip kesamarataan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa 'semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang'.
"Oleh itu, tiada individu termasuk perdana menteri harus dikecualikan daripada tindakan undang-undang.
"Sekiranya permohonan ini dibenarkan, ia akan mewujudkan preseden undang-undang yang berbahaya yang berpotensi membolehkan mana-mana perdana menteri pada masa hadapan menuntut imuniti daripada tindakan undang-undang, walaupun dalam kes yang melibatkan tuduhan peribadi seperti serangan seksual atau salah laku sivil," katanya.
Justeru, pihaknya menggesa Mahkamah Tinggi untuk menolak permohonan tersebut dan membenarkan proses perundangan yang adil dan telus dilaksanakan, demi keadilan untuk semua pihak yang terlibat.