Rafizi letak jawatan: Pintu lain masih terbuka, kata Annuar Musa

PUTRAJAYA - “Tidak mustahil tertutupnya satu pintu, ada lagi pintu lain yang terbuka.”

Demikian reaksi ringkas namun penuh makna daripada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut Annuar, keputusan Rafizi bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah sudah dijangka berdasarkan perkembangan yang berlaku dalam PKR.

“Seperti yang telah dijangka, Rafizi letak jawatan. Beliau terima hakikat partinya sendiri yang menolak beliau,” katanya menerusi hantaran di laman sosial.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berpandangan bahawa kehilangan jawatan bukan bererti perjuangan seseorang itu sudah berakhir, sebaliknya apa yang lebih utama ialah mempertahankan prinsip.

"Tidak mustahil tertutupnya satu pintu,ada lagi pintu lain yang terbuka. Tidak perlu diketuk pintu yang tertutup, elok dicari pintu yang terbuka," ujarnya sambil mengucapkan selamat berjuang kepada Rafizi.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan peletakan jawatan Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun.

Langkah itu diambil sebagai menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi tunjang perjuangannya dalam politik sejak awal penglibatan.

Rafizi dilantik ke jawatan itu pada 3 Disember 2022, selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun dalam ceramah jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK), Rafizi menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan sekiranya gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Beliau kalah kepada Nurul Izzah pada pemilihan PKR dengan hanya meraih 3,866 undi.