'Tewas dengan Ramanan, saya dan Nik Nazmi senasib' - KJ

SHAH ALAM – Karier politik Datuk Seri R Ramanan boleh dikatakan bergerak pantas selepas berjaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sehingga memperoleh jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025–2028.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara berseloroh berkata, beliau dan bekas Naib Presiden PKR merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, mempunyai satu persamaan kedua-duanya pernah tewas kepada Ramanan.

Bagaimanapun, menurut bekas Menteri Kesihatan itu, segala kemungkinan boleh berlaku dalam dunia politik kerana ada kalanya seseorang boleh “memanjat tangga” dengan cepat, begitu juga sebaliknya.

“Kebarangkalian Ramanan ‘panjat’ sehingga menjadi Presiden PKR, itu saya tidak mahu komen kerana ia parti orang lain. Tetapi mungkin beliau telah melalui fasa di mana kenaikannya agak pantas, menang di Sungai Buloh dan kalahkan saya.

“Kemudian, beliau menang jawatan Naib Presiden PKR baru-baru ini. Saya pun ada hantar mesej kepada Nik Nazmi dan beliau membalas, ‘kita ada persamaan iaitu sama-sama dikalahkan oleh Ramanan’.

“Memang ada masa kita naik cepat dan turun pun cepat. Itu semua bergantung kepada bagaimana kita mengurus kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.

Untuk rekod, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Buloh.