Hilang percaya mungkin faktor undi merosot

SHAH ALAM - Hilang kepercayaan kepada pemimpin kemungkinan besar menjadi antara faktor utama jumlah peratusan ketara perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan tidak mengundi dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata, barisan kepimpinan baharu yang dipilih perlu melihat isyarat diberikan akar umbi tersebut secara serius.

“Ada sebahagian pihak menganggap urusan pemilihan tidak boleh lagi dijadikan pengukur kepada keupayaan seseorang calon untuk berjaya dipilih.

“Ini disebabkan ada dakwaan wujud kepincangan dalam proses pemilihan tetapi tidak diketahui sejauh mana dakwaan tersebut, namun apa yang pasti hal ini menjadi antara sebab peratus mengundi merosot,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri bahawa PKR kini berada di persimpangan sangat genting dalam sejarah perjuangannya, selepas pemilihan parti itu memperlihatkan kelesuan ketara ahli parti.

Menurut beliau, kehilangan lebih 60 peratus undi dalam proses pemilihan tersebut juga merupakan satu persoalan besar.

Mengulas lanjut, Romzi berkata, situasi yang melanda itu juga seharusnya menjadi peringatan awal atau wake up call kepada barisan kepimpinan baharu untuk mencari formula terbaik dalam mengembalikan kepercayaan ahli akar umbinya.

Sementara itu, Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, PKR kini berdepan krisis kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

“Majoriti ahli dalam parti tidak mahu mengambil bahagian dalam proses demokrasi pemilihan calon.

“Situasi ini juga menunjukkan berlakunya protes secara senyap kerana janji-janji reformasi yang diperjuangkan sebelum ini hanya tinggal janji serta kemungkinan lain ialah parti hala tuju parti yang tidak telus dan kepimpinan tidak inklusif,” katanya.

Beliau berkata, jika permasalahan itu tidak diurus dengan baik ia boleh memberi kesan besar kepada parti dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Keengganan ahli PKR turun mengundi adalah satu isyarat amaran yang tidak boleh diabaikan,” katanya.