'Presiden PKR pikul tanggungjawab besar, peranan timbalan jadi lebih kritikal' - Nurul Izzah

SHAH ALAM - Peranan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadi lebih kritikal disebabkan Presiden parti merangkap ketua kerajaan kini sedang memikul tanggungjawab besar iaitu mengemudi negara dalam era yang penuh ketidaktentuan.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya akan menggembleng usaha untuk memperkukuh parti dan memastikan tadbir urus dalaman berada pada landasan yang benar agar Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.

Justeru, menurut beliau, antara langkah pertama yang bakal dilaksanakan ketika ini adalah memperkenalkan program universal untuk semua cabang bagi memperkasa jentera akar umbi.

“Program ini memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat dan cara terbaik untuk membantu komuniti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan berjuang tanpa kekuatan. Jadi, kita akan pastikan setiap 'jeneral' dan pahlawan parti daripada cabang hingga pusat dilengkapi dengan kekuatan yang cukup, ilmu, sumber serta semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik mendatang,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sinar Harian melaporkan, Nurul Izzah memenangi jawatan nombor dua dalam PKR menewaskan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Keputusan rasmi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam Kongres Nasional Keadilan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada Jumaat.

Nurul Izzah yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi manakala Rafizi 3,866 undi.

Sementara itu, Nurul Izzah yang juga digelar sebagai Puteri Reformasi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyokong di atas mandat dan kepercayaan diberikan.

Beliau berpandangan, kemenangan yang diterima bukan atas dasar mahu bersorak atau bersenang-lenang, sebaliknya waktu untuk melipatgandakan usaha, turun padang, mendengar, menyingsing lengan dan kembali ke medan tempur 'lawan sebenar’.

“Kita tiada banyak masa, jangan sia-siakan setiap peluang dan saat yang ada. Saya melangkah ke hadapan bukan dengan rasa megah, tetapi rasa penuh tanggungjawab serta sedar bahawa setiap undi adalah amanah dan setiap amanah menuntut kerja sebenar.

“Mari kita bina kembali kekuatan ini. Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan.

“Bersama, kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati untuk rakyat. Saya mewakili semua sama ada yang mengundi saya mahupun Rafizi, amatilah amanat ini,“ ujar beliau lagi.