TONGOD - Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, menjangkakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding sekurang-kurangnya 52 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan sentimen rakyat yang semakin kukuh terhadap parti tempatan dalam PRN kali ini.
"Berdasarkan sentimen kuat rakyat Sabah kepada parti tempatan menjelang PRN kali ini, saya jangkakan kita bakal bertanding di 52 kerusi jika Pengerusi GRS bersetuju mengenai cadangan itu.
"Selebihnya, 21 kerusi bakal diagihkan kepada parti nasional yang bersetuju menjalinkan kerjasama dengan GRS," katanya ketika berucap pada siri Jelajah GRS di Kampung Mananam di sini pada Sabtu.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, hubungan kerjasama politik dan pentadbiran kerajaan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini dilihat cukup baik dan boleh dikekalkan.
"Jika kesepakatan GRS dan PH diteruskan dalam menghadapi PRN17, maka gabungan itu diyakini mampu membentuk kerajaan negeri Sabah sekali lagi," katanya.
Beliau juga yakin calon parti tempatan dalam GRS mampu menjadi pilihan utama sekali gus menyingkirkan pembangkang yang sebelum ini ditolak rakyat ketika memerintah Sabah.
Masiung dalam pada itu turut menegaskan parti itu akan lebih berhati-hati dalam menjalinkan hubungan kerjasama dengan parti lain ekoran peristiwa cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pada Januari 2023.