SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) disarankan agar menampilkan barisan pemimpin masa depan sebagai usaha merealisasikan cadangan membentuk 'konsensus nasional baharu' di Malaysia seperti yang dirancang.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, langkah mewujudkan sebuah kabinet bayangan mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan pembangkang itu.
Menurut beliau, cadangan tersebut diketengahkan selepas mengikuti ceramah yang disampaikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi ucaptama bertajuk A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape – Building A New Consensus di Institut Yusof Ishak, Singapura, baru-baru ini.
“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Ketua Pembangkang (Hamzah) bahawa kita perlu kepada satu konsensus nasional yang baharu. Pada masa yang sama, saya lontarkan pandangan kepada beliau.
“Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin masa depan ditampilkan bersama PN supaya rakyat melihat sudah ada Cabinet in Waiting (kabinet bayangan) untuk melaksanakan konsensus nasional baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Hamzah sebelum ini mencadangkan pembentukan satu 'konsensus nasional baharu' dengan matlamat menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah dalam satu program di negara jiran itu.
Ahli Parlimen Larut itu turut menyatakan bahawa keperluan membina konsensus tersebut kini lebih mendesak berbanding sebelum ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, cadangan yang dikemukakan Hamzah adalah sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, objektif utama semua rakyat adalah untuk hidup aman dan damai, membina kehidupan serta legasi di negara bertuah ini tanpa mengira agama dan bangsa, dengan memahami had serta batasan masing-masing.
“Maka, sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan wajib memahami intipati ini. Tanpa kerajaan yang berjiwa rakyat, politik negara akan terus goyah.
“Politik dan kepimpinan mestilah digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat dan kestabilan negara, bukan untuk kepentingan diri dan penyokong semata-mata.
“Untuk itu, amat penting pemimpin yang dipilih datang daripada kalangan yang benar-benar layak serta mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, bukan sekadar petah berpidato atau pandai berpuisi atas pentas,” katanya.