Gandingan Nurul Izzah, Ramanan isyarat perpaduan baharu PKR

SHAH ALAM – Kemenangan bergaya Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama kejayaan Naib Presiden baharu, Datuk Seri R Ramanan disifatkan sebagai simbol kebangkitan dan manifestasi perpaduan baharu dalam kepimpinan parti.

Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak, Jonathan Vela berkata, pencapaian itu membawa makna besar bukan sahaja kepada parti, malah kepada rakyat yang mengimpikan kepimpinan berprinsip serta reformasi yang tulen.

“Kemenangan Nurul Izzah bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi turut mencerminkan harapan rakyat terhadap masa depan yang lebih cerah dan kepimpinan berteraskan nilai integriti serta keadilan.

“Beliau ialah simbol harapan kepada generasi baharu yang mahu melihat perubahan nyata dalam landskap politik tanah air,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Dalam pemilihan parti kali ini, Nurul Izzah berjaya menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli, dengan memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 undi yang diraih Rafizi.

Kemenangan tersebut dilihat sebagai kebangkitan semula tokoh reformasi muda itu selepas berehat seketika daripada barisan kepimpinan utama parti.

Sementara itu, Ramanan pula meraih 5,895 undi, sekali gus berjaya merebut salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden. Beliau menyertai tiga penyandang iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (7,955 undi); Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (5,889 undi); dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (5,757 undi) yang mengekalkan jawatan masing-masing.

Mengulas kejayaan Ramanan, Jonathan menyifatkannya sebagai detik bersejarah buat masyarakat India di Malaysia apabila suara komuniti itu kini semakin jelas diangkat dalam kepimpinan tertinggi negara.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kepimpinan berasaskan prinsip, kerja keras dan kesetiaan kepada perjuangan mampu membawa perubahan yang inklusif.

“Kemenangan beliau memberi nafas baharu kepada aspirasi masyarakat India dan menjadi penanda aras dalam usaha memperkukuh keterangkuman dalam politik nasional,” ujarnya.

Tambah Jonathan, gandingan Nurul Izzah dan Ramanan menjadi lambang semangat baharu dalam PKR, selaras dengan mandat rakyat yang mahukan perubahan, kestabilan dan kepimpinan yang berpaksikan rakyat.

“Kemenangan ini membawa mesej jelas bahawa era baharu sedang bermula dalam PKR – sebuah era yang menjulang nilai perpaduan, keadilan dan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.