Saifuddin saran mahasiswa sertai politik perjuangan, bukan politik ampu dan fitnah

SHAH ALAM - Mahasiswa disarankan untuk menceburi bidang politik melalui pendekatan perjuangan yang mengangkat nilai ilmu, prinsip dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Bekas presiden, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu penting kerana politik perjuangan mempunyai ciri-ciri bersih dan segar bukannya politik fitnah berasaskan undian semata-mata.

“Politik perjuangan punya ciri-ciri bersih dan segar iaitu politik ilmu bukannya politik ampu, politik hikmah bukannya politik fitnah serta politik bakti bukannya politik undi.

“Justeru, saya menyeru mahasiswa menceburi politik untuk menyertai ‘politik perjuangan’. PBMUM khasnya dan kampus amnya, mampu menjadi sekolah politik yang ampuh,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan satu ‘konsensus nasional baharu’ dibentuk dengan matlamat menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, keperluan untuk membina konsensus tersebut lebih mendesak berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berpendapat saranan Hamzah itu termasuk dalam amalan ‘politik perjuangan’ yang mempunyai tiga rukun iaitu idealisme - berpegang teguh pada prinsip dan nilai tinggi serta murni; aktivisme - kesediaan secara sukarela dan berkorban untuk merealisasikan idealisme serta intelektualisme - menghayati budaya ilmu dalam idealisme dan aktivisme.

“Oleh itu, saya berharap PBMUM meneruskan perjuangan menegakkan universiti yang punya roh dan gedung ilmu serta menegakkan kebebasan atau kecemerlangan akademik.

“PBMUM perlu memperkasa diri untuk menjadi pencetus idea di dalam dan di luar kampus, menjadi intelektual awam dan pemimpin masyarakat dalam mendepani masa depan,” ujarnya.