JOHOR BAHRU – Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan petunjuk jelas mengenai hala tuju masa depan parti itu serta negara, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, barisan kepimpinan baharu yang dipilih perwakilan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan PKR terus menjadi parti induk dalam pentadbiran kerajaan pada masa akan datang.
“Setelah melalui proses yang mencabar dan getir, kita kini berada di titik akhir bagi memuktamadkan Kongres Nasional. Ini bermakna kita telah membentuk satu lapisan kepimpinan baharu untuk memikul harapan anggota parti serta rakyat Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini pada Sabtu.
Amirudin, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor berkata, kepimpinan baharu juga perlu bersedia memastikan PKR kekal relevan dalam kerajaan serta terus mendukung kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk penggal kedua sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, pula menekankan kepentingan semua ahli parti menguasai semula naratif dan persepsi di media sosial menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, setelah menjadi kerajaan, PKR menjadi terlalu selesa sehingga mengabaikan aspek komunikasi strategik di platform digital, sekali gus mendedahkan parti kepada serangan dan fitnah oleh pihak lawan.
“Saya yakin dengan strategi yang betul dan gerak kerja tersusun, kita mampu menawan kembali medan media sosial serta membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam PRU16, sekali gus memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan agar tiga isu utama yang menimbulkan keresahan rakyat, iaitu pelaksanaan e-invois, penyelarasan subsidi gas untuk peniaga kecil, dan penyelarasan harga petrol ditangani segera oleh kerajaan.
Beliau berkata, ketiga-tiga isu tersebut berisiko menggugat sokongan rakyat sekiranya tidak ditangani secara cermat menjelang pilihan raya akan datang.
Seorang lagi Naib Presiden, Chang Lih Kang, menyeru seluruh ahli PKR untuk kembali memberi tumpuan kepada usaha memenangi PRU16 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“Fokus kita sebagai parti politik adalah untuk menang pilihan raya. Kita perlu bekerja keras memastikan PKR kekal dalam kerajaan pusat dan Presiden kita terus menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau turut mencabar sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) agar segera memulakan gerak kerja di kawasan sukar yang masih belum dikuasai oleh parti.
Sementara itu, Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata setiap ahli PKR bertanggungjawab menyampaikan penerangan yang berkesan mengenai dasar serta inisiatif kerajaan, memandangkan masih ramai rakyat yang belum memahami manfaat yang disediakan.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, pula mengingatkan semua ahli supaya terus setia dan meletakkan kepercayaan penuh kepada kepimpinan baharu dalam usaha membawa parti ke arah yang lebih gemilang. - Bernama