PKR bermesyuarat 29 Mei bincang persediaan PRN Sabah – Anwar

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat khas Biro Politik pada 29 Mei ini bagi merangka strategi dan program menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat tersebut akan memfokuskan kepada pembahagian kerusi serta penyelarasan gerak kerja bersama rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

“Mesyuarat khas itu akan merangka program PRN Sabah. Saya beri jaminan PKR dan PH akan dapat kerusi yang munasabah untuk bertempur nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di sini pada Sabtu.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa rundingan telah dibuat bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor bagi memastikan proses pembahagian kerusi berjalan lancar dan adil.

Katanya, usaha PKR dan PH di Sabah wajar diiktiraf dan perlu diberi peluang untuk turut sama memperjuangkan nasib rakyat di negeri tersebut.

Pada 12 Mei lalu, Ahmad Zahid menyifatkan PRN Sabah sebagai permulaan kepada ‘perang besar’ bagi gabungan rasmi Barisan Nasional–Pakatan Harapan (BN–PH).

Sementara itu, Anwar turut memberi jaminan akan mempertahankan mana-mana pemimpin dalam parti yang dilihat layak selepas pemilihan PKR 2025 nanti.

Beliau turut merakam penghargaan kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini tidak lagi berada dalam kepimpinan tertinggi parti.

“Terima kasih kepada semua dari peringkat akar umbi sehingga kepimpinan tertinggi atas sumbangan dan perjuangan bersama parti selama ini,” katanya.