JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dituntut agar mengisi kuota 30 peratus wanita dalam kepemimpinan parti serta kerajaan.
Naib Ketua PKR Cabang Damansara, Pua Pei Ling berkata, tuntutan tersebut masih belum tercapai walaupun ia bukanlah isu baharu.
"Kuota 30 peratus wanita dalam kepemimpinan bukanlah permintaan baharu, tetapi merupakan komitmen yang telah ditetapkan sejak bertahun lalu dan termaktub dalam Dasar Wanita Negara serta komitmen antarabangsa Malaysia.
"Oleh itu, hari ini saya bukan sahaja menyuarakan semula tuntutan ini, kerana bagi saya ia merupakan satu amanah yang perlu dipenuhi dengan kompetensi dan integriti," katanya semasa sesi perbahasan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, pada Sabtu.
Pei Ling yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan berkata, suara wanita masih jarang kedengaran biarpun sering menjadi pendukung utama dalam politik negara.
Katanya, walaupun wanita menjadi tenaga kerja kempen, menjaga anak-anak semasa mesyuarat politik berlangsung dan menyediakan makanan untuk jentera parti, mereka terlalu kerap diletakkan di belakang pentas kuasa.
"Suara wanita memang jarang kedengaran dalam bilik mesyuarat tertinggi. Namun hari ini, naratif itu sedang berubah. Wanita Malaysia kini bukan sekadar penyokong, kita adalah pemimpin akar umbi – daripada ketua wanita cabang, ketua cabang, ketua kampung, ahli majlis, ADUN, Ahli Parlimen, EXCO, malah Menteri dan pernah juga Timbalan Perdana Menteri.
"Kebangkitan wanita dalam politik bukan kebetulan, ia adalah hasil perjuangan panjang. PKR telah menjadi pelopor dalam memperkasakan wanita sejak era Reformasi 1998 hingga kini," ujarnya.
Sementara itu, Pua turut menasihatkan anggota Wanita PKR agar membuang budaya ‘gosip’ yang hanya memecah belah pasukan.
"Sila buang budaya ‘gosip’ dan fokus kepada amanah yang telah dipertanggungjawabkan selepas kemenangan dalam pemilihan parti.
"Jangan hanya menuntut ruang, tetapi buktikan bahawa kita layak diberi kepercayaan. Jangan hanya meminta untuk dilantik, tetapi buktikan bahawa kita mampu memimpin.
"Apabila prestasi wanita menyinar, kuota akan menjadi kekuatan dan bukan satu pertikaian," katanya.
TAMAT