Lih Kang yakin yang kalah tidak akan tinggalkan PKR

JOHOR BAHRU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang yakin bahawa mereka yang tewas dalam pemilihan parti tidak akan meninggalkan perjuangan kerana semangat parti lebih utama berbanding kepentingan individu.

Menurutnya, perjuangan PKR adalah untuk seluruh rakyat dan negara bukannya semata-mata demi seseorang.

“Ini bukan soal individu. Ia soal perjuangan bersama demi negara. Saya percaya mereka yang tidak terpilih tetap akan terus setia bersama parti,” katanya ketika sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Sabtu.

Beliau berkata, budaya politik matang dalam PKR membolehkan ahli parti menerima kekalahan dengan terbuka tanpa menimbulkan perpecahan serius.

“Dalam pemilihan PKR 2022 juga ada persaingan sengit, tetapi akhirnya semua pihak kembali bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Akhirnya, kita menang banyak kerusi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Tambah beliau, ahli yang tidak terpilih tetap boleh menyumbang kepada perjuangan parti menerusi peranan lain.

Lih Kang turut mengingatkan seluruh jentera dan kepimpinan parti agar memberi tumpuan penuh kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Selepas ini kita akan hadapi PRN Sabah. Kita perlu bantu rakan-rakan di Sabah untuk capai kemenangan. Kemudian akan menyusul PRN lain dan PRU16 pula.

“Kita tahu betapa sukarnya untuk mencapai kejayaan seperti hari ini. Ambil masa lebih 20 tahun untuk menjadikan PKR sebagai parti pemerintah di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.