PRU16: PKR sasar 40 peratus calon wanita, belia - Nurul Izzah

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terdiri daripada golongan wanita dan anak muda.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, perkara itu merupakan antara pendekatan penting yang digariskan bagi memperkukuh kekuatan parti dalam landskap politik negara.

"Menuju 24 bulan sebelum PRU16, kita mahu garap sepenuhnya kuasa dan suara wanita serta anak muda. Kita mahu sekurang-kurangnya 40 peratus pencalonan diwakili oleh wanita dan anak muda.

"Saya fikir semangat yang paling utama ialah setiakawan – sama ada yang menang atau tidak menang dalam pemilihan kali ini, kita mesti pertahankan semangat itu," katanya pada sidang media selepas Kongres Nasional PKR 2025 di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Nurul Izzah diumumkan sebagai pemenang jawatan Timbalan Presiden PKR selepas memperoleh 9,803 undi, menewaskan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata dua lagi teras utama yang digariskannya adalah merangkul semua usaha dalam parti serta melaksanakan reformasi dalaman secara berterusan.

Tambah beliau, kepimpinan parti perlu sentiasa menjadi pendengar yang baik dan saling memperingati agar perjuangan asal tidak menyimpang.

“Itulah yang mendasari perjuangan. Kami dalam barisan kepimpinan mahu menjadi mata dan telinga parti – supaya saling mengingatkan dan berpegang pada prinsip.

"Berlumba-lumba bukan untuk kuasa, tetapi untuk melakukan kebaikan. Saya mengajak semua orang, bukan hanya dalam PKR tetapi juga sukarelawan, untuk tampil menjelmakan kata-kata kepada tindakan yang memberi manfaat kepada semua," ujarnya.