JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu segera membina semula kekuatan pascapemilihan peringkat pusat bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti.
Pengarah Komunikasi dan Pengarah Manifesto Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak, Baldip Singh Santokh Singh berkata, perkara itu penting, kerana PKR ketika ini merupakan antara parti utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan selain memimpin beberapa kerajaan negeri.
"Kita kena (kembali) bergabung sebagai satu pasukan untuk menentang musuh di luar bukan di dalam (parti), (pada yang tewas) jangan merajuk kerana kita ada agenda perpaduan yang mengatasi segala perkara lain di dalam parti ini.
"Bersatu kita teguh, jika tidak kita akan roboh. Muafakat kita ahli PKR ini amat penting (untuk memimpin kerajaan),” katanya pada sesi perbahasan usul ucapan dasar Presiden sempena Kongres Nasional Tahunan PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Sesi perbahasan itu dihadiri Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan kepimpinan parti.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin pula berharap, pimpinan parti tidak menyisihkan calon yang tewas pada pemilihan yang berakhir semalam.
"Buka minda serta ruang kepada pengalaman dan tenaga yang masih mahu berbakti. Jangan kita ulangi kesilapan dahulu membiarkan parti ini berpecah hanya kerana perbezaan pendapat, jika kita terus berbalah sesama sendiri, bagaimana rakyat mahu percaya kepada kita.
"Kita raikan pandangan. Kita mesti bangkit semula dan kali ini, dengan lebih kuat, lebih bersatu, dan lebih sedar akan tanggungjawab kita kepada rakyat, seiring anjakan paradigma dan transformasi ke arah Malaysia Madani,” katanya.
Turut menyentuh mengenai agenda penyatuan PKR selepas proses pemilihan parti dengan menekankan perumpamaan ‘biduk lalu kiambang bertaut’ yang sinonim dengan parti itu, antaranya ialah Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail, Timbalan Ketua AMK Cabang Jelebu, Mohd Umry Abdul Khois dan Timbalan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Zukri Aksah.
Pada keputusan rasmi pemilihan semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan menang tanpa bertanding jawatan Presiden, manakala Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Tiga penyandang, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, masing-masing berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan menjadi muka baharu yang berjaya mendapat mandat daripada perwakilan, untuk menggalas tanggungjawab Naib Presiden menggantikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Cabang Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet juga antara muka baharu yang berjaya menempatkan diri dalam MPP pada pemilihan kali ini.
Kongres Nasional akan berakhir hari ini dengan sesi penggulungan oleh pimpinan parti yang baharu. - Bernama