PKR bukan medan politik ‘dikir barat’

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menjaga nama baik parti dan tidak terjebak dengan budaya politik ‘dikir barat’ yang hanya mengikut arahan tanpa berfikir.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, budaya sebegitu boleh mencetuskan perpecahan apabila suara yang membawa mesej berlainan tidak diraikan.

"Sebab itu kita (PKR) tidak amalkan politik dikir barat, apabila tukang karut berkata-kata semua akan ikut. Tetapi jika ada ahli yang mengubah seni kata lain, tersingkirlah dia dari kumpulan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden baharu, Nurul Izzah Anwar.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menegaskan bahawa seluruh cabang PKR perlu mempunyai fikrah yang jelas bagi mendukung kepimpinan dan hala tuju parti.

Menurutnya, kekuatan parti perlu diperkukuh bermula dari akar umbi sebagai persiapan menghadapi cabaran di peringkat kerajaan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Saya bimbang jika akar umbi terus terpengaruh dengan kata-kata reformasi dan terus melakukan tindakan tidak selari dengan kepimpinan, ia sekali gus gagal memahami mesej sebenar kepimpinan tertinggi parti.

“Saya juga bimbang ada satu masa bila kita tidak betul-betul ‘solid’ (sebagai satu parti) atas prinsip dan tak faham arah tuju perjuangan, rakyat akhirnya akan pertikaikan kita,” katanya.