JOHOR BAHRU - Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, diteruskan pagi ini dengan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, sesi perbahasan yang bermula pada jam 9.20 pagi itu akan membabitkan seramai 16 pembahas dari negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan juga Wanita.
Antara topik yang akan disentuh para pembahas ialah strategi jangka panjang untuk membina Malaysia majmuk, peranan bersama semua anggota dalam menyusun semula kekuatan parti, inisiatif negeri sebagai bukti keupayaan keadilan menjadi kerajaan berwibawa serta peranan parti, rakyat, dan negara.
Turut disentuh perwakilan adalah mengenai subsidi, upah dan kos sara hidup, Pilihan Raya Negeri Sabah, Islam dalam pentadbiran negara dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selepas tamat sesi perbahasan, Pengerusi Tetap Datuk Ahmad Kassim akan mengumumkan pembubaran Majlis Pimpinan Pusat (MPP) 2022-2025, diikuti sesi pengundian Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap bagi sesi 2025-2028.
Kongres diteruskan dengan pengumuman Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap yang baharu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Sejurus itu, MPP yang baharu akan mengambil tempat di atas pentas menggantikan MPP terdahulu.
Pada keputusan rasmi pemilihan semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan menang tanpa bertanding jawatan Presiden, manakala Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Tiga penyandang, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang masing-masing berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan menjadi muka baharu yang berjaya mendapat mandat daripada perwakilan untuk menggalas tanggungjawab Naib Presiden menggantikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Cabang Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet juga antara muka baharu yang berjaya menempatkan diri dalam MPP pada pemilihan kali ini.
Selain itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim juga diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua AMK, manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan kali ini menewaskan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Pemilihan kepimpinan sesi 2025-2028 menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri bertanding yang merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat, 85 untuk Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Kongres Nasional akan berakhir hari ini dengan sesi penggulungan oleh pimpinan parti yang baharu. - Bernama