SHAH ALAM – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berlapang dada dan reda susulan kekalahannya dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025-2028.
Chen berkata, kekalahan tersebut diterima dengan hati terbuka kerana menyedari kempen dilakukannya agak terhad.
"Saya telah kehilangan kerusi MPP saya. Sejujurnya, perkara itu sudah dijangka memandangkan saya sangat sedikit berkempen.
"Bagaimanapun, terima kasih kepada penyokong mengundi saya. Saya gembira karam bersama kem pilihan saya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu, keputusan Pemilihan PKR 2025 menyaksikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar.
Justeru, Chen mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dalam pemilihan parti kali ini.
Menurut laporan sebuah portal, Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi manakala Rafizi hanya meraih 3,866 undi, sekali gus menang dengan majoriti besar iaitu 72 peratus undi.