Rafizi sahkan tidak pernah draf surat letak jawatan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan tidak pernah draf apa-apa surat peletakan jawatan mahupun menyatakan hasrat enggan bertanding merebut kerusi disandangnya.

Rafizi berkata, alasan kononnya Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan sama demi menyelamatkan parti akibat kekosongan tidak benar sama sekali.

Malah, menurutnya, beliau tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat kementerian di Putrajaya.

"Saya tidak pernah mendraf surat meletak jawatan atau menyatakan tidak akan bertanding. Alasan yang diberi kononnya Nurul Izzah masuk bertanding (jawatan sama) untuk menyelamatkan parti akibat kekosongan kerusi Timbalan Presiden PKR adalah tidak benar.

"Selain itu, saya umum terlebih dahulu akan mempertahankan jawatan sepertimana diminta Presiden PKR sendiri iaitu Datuk Serri Anwar Ibrahim.

"Saya juga tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat. Pejabat saya masih kekal bersepah dengan fail hingga ke hari ini. Selepas bercuti selama empat hari untuk berjumpa dengan akar umbi, saya kekal menjalankan tugas menteri seperti biasa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, bekas Pegawai Khas Kementerian Ekonomi, Najib Bakar turut menjawab dakwaan sama iaitu pejabat Rafizi tidak pernah dikosong, sebaliknya dikemaskan sebagai persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran kementerian berkenaan.

Terdahulu, Nurul Izzah mendakwa surat peletakan jawatan dan kekosongan pejabat Rafizi mendorong beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025–2028.

Menerusi hantarannya di Facebook menjelang pemilihan, Puteri Reformasi itu memaklumkan bahawa beliau berada di India bagi menghadiri satu persidangan dan dalam masa sama menerima khabar bahawa Rafizi mengambil cuti daripada tugas sebagai Menteri Ekonomi serta mengosongkan pejabatnya di Putrajaya.

Beliau memberitahu, pucuk pimpinan parti juga dimaklumkan mengenai surat peletakan jawatan menteri yang disediakan oleh Rafizi.

Kata Nurul Izzah, perkara tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa Rafizi mungkin tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam PKR, sekali gus menambah keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.