TANJONG KARANG - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri menafikan dakwaan kononnya beliau tidak menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti berkenaan.
Menurutnya, dakwaan itu tidak berasas kerana majoriti ahli cabang itu secara jelas menyatakan sokongan penuh kepada Nurul Izzah.
"Majoriti ahli Cabang PKR Tanjong Karang nyata sokongan penuh kepada beliau (Nurul Izzah) untuk menang dalam pemilihan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mohd Yahya memberitahu, kenyataan terdahulu cabang itu yang menyokong Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dibuat sebelum Nurul Izzah mengumumkan hasrat bertanding.
"Kami sebelum ini mengeluarkan kenyataan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Saifuddin untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden.
"Namun, beliau tidak bertanding, sebaliknya Nurul Izzah tampil sebagai calon selepas pengumuman sokongan kepada Saifuddin dibuat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pendirian cabang itu jelas memberi sokongan kepada Nurul Izzah berdasarkan penilaian terhadap keupayaan dan sumbangan beliau dalam perjuangan parti.
"Kami yakin beliau mampu membawa perubahan yang lebih segar dan progresif dalam PKR,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama meminta semua ahli parti supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan dan manipulasi politik dalaman yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan fokus parti menjelang pemilihan akan datang.
“Ini masa untuk kita bersatu dan memperkukuh saf kepimpinan kerana pemilihan parti bukan medan perpecahan tetapi ruang demokrasi untuk memilih barisan terbaik demi masa depan PKR dan rakyat,” tambahnya.