SHAH ALAM - Bayangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah isyarat koalisi tersebut mahu mendominasi dalam sebarang bentuk kerjasama politik yang mahu dipertimbangkan.
Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, strategi tawar-menawar yang dibuat juga bersifat normal dan GRS dilihat bertindak bijak agar ia difahami rakan-rakan sekutu dan gabungan politik mereka.
Katanya, pertimbangan sedemikian perlu bagi memastikan kekuatan rakan sekutu dapat diterjemah secara berkesan dalam landskap politik Sabah.
“Namun begitu, GRS juga harus lebih memahami aspirasi akar umbi dan kehendak rakyat.
“Pada masa yang sama, kekuatan Kerajaan Perpaduan melalui gabungan sedia ada antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu diterjemahkan secara berkesan dalam landskap politik Sabah.
“Ini penting bagi mewujudkan satu kesinambungan sinergi yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Ahad.
GRS dilapor memberi bayangan sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN perlu diagihkan kepada koalisi itu sekiranya mana-mana parti lain mahu mengadakan kerjasama politik bersama mereka pada PRN Sabah ke-17.
Bagaimanapun menurut Ketua Pemuda GRS, Jonnybone Kurum, perkara itu masih belum dimuktamadkan sehingga mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) tertinggi yang berkemungkinan diadakan selepas Pesta Kaamatan.
Perkembangan itu susulan keterbukaan BN untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti politik lain di Sabah selain GRS bagi PRN nanti.
Dalam pada itu, Noor Nirwandy berkata, PRN Sabah bakal menjadi medan untuk menguji kemampuan parti-parti dan gabungan-gabungan dalam menentukan kepentingan berdasarkan landskap perubahan apabila ia juga akan didominasi dengan persekitaran media sosial yang lebih dinamik.
Jelas beliau, partisipasi dalam media sosial dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan kepercayaan rakyat terhadap gerak perang saraf yang dilakukan oleh gabungan parti-parti politik dalam PRN Sabah.
Sehubungan itu tegas beliau, GRS perlu lebih terbuka dalam memastikan elemen-elemen yang membawa kepentingan politik Sabah diberi pertimbangan sebaiknya.
“Perlu lihat sama ada dominasi GRS ini akan bertambah kuat dengan kerjasama sedia ada dengan PH dan kerjasama yang mungkin dikatakan dengan gabungan mega terutamanya dengan BN.
“Kerana ini merupakan satu keputusan besar untuk menentukan hala tuju dan memperlihatkan kecenderungan politik Sabah yang mungkin akan mempunyai sedikit perubahan kesan daripada teras utama masyarakat dalam media sosial,” katanya.
Menurut Noor Nirwandy, penting agar GRS memahami reaksi akar umbi dan masyarakat untuk memastikan gabungan-gabungan yang terbentuk boleh menguntungkan dan menguatkan, serta gabungan sedia ada juga dapat diteruskan dengan baik.