UMNO Sabah kekal ada autonomi rundingan PRN Sabah - Ahmad Zahid

KOTA KINABALU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kuasa autonomi kekal menjadi milik UMNO Sabah untuk menjalankan rundingan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan UMNO Sabah serta keupayaan mereka mengadakan rundingan dengan parti-parti lain bagi membentuk kerjasama menjelang PRN itu.

"Kita memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah dan kita yakin dengan kepimpinan UMNO Sabah. Namun, tidak ada sesuatu yang tidak boleh dirundingi atau dirundingkan.

"Semangat Bung (Ketua UMNO Sabah) adalah untuk menaikkan semangat kepada penyokong-penyokong parti dan saya yakin beliau akan melihat dalam situasi yang lebih holistik untuk kita membentuk kerjasama dengan rakan yang lain di Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar, Institut Kemahiran Mara (IKM) di Sepanggar, pada Sabtu.

Ahmad Zahid pada masa sama menolak andaian bahawa keputusan penting hanya ditentukan di peringkat pusat, sebaliknya menegaskan perbincangan turut melibatkan UMNO Sabah.

"Tidak, kami berbincang antara satu sama lain, jadi kami harus bekerjasama. Saya percaya kepimpinan Datuk Seri Bung bahawa beliau tidak hanya berbincang antara parti-parti di Sabah, tetapi beliau juga sudah pasti berbincang dengan Putrajaya.

"Kita sangat menghormati autonomi yang ada pada UMNO Sabah dan ini diketahui oleh Datuk Seri Bung Moktar serta seluruh kepimpinan UMNO dan BN Sabah," katanya.

Ditanya mengenai ruang kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau memaklumkan bahawa beberapa siri perbincangan telah diadakan, namun belum dimuktamadkan.

"Perbincangan telah dibuat banyak kali tetapi belum dimuktamadkan. Perbincangan tidak dilakukan oleh saya sendiri tetapi kepimpinan parti yang mengadakan perbincangan tersebut," katanya.

Ketika diminta mengulas isu slogan 'Sabah untuk rakyat Sabah' yang dibangkitkan baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa perasaan kenegerian melampau perlu dielakkan.

"Saya setuju dengan apa yang Datuk Seri Bung Moktar katakan tadi, kerana rasa keterbukaan ini kita tidak mahu ada perasaan regionalistik yang sangat ketat dan kental.

"Kenapa kita perlu membangkitkan perkara itu sedangkan kita memerlukan antara satu sama lain. Jangan membangkitkan perasaan yang begitu dan saya fikir kita sebagai sebuah negara dibentuk atas semangat persekutuan Malaysia, perkara itu harus menjadi tajuk utama.

"Jangan berfikiran terlalu sempit dan jumud, sebagaimana seorang pemimpin di Sabah yang sering menyatakan perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai status Ahli Parlimen Putatan merangkap ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya serta beberapa individu lain dalam kerajaan GRS, beliau memaklumkan mereka kekal digantung keahlian dalam UMNO.

"Mereka tidak keluar UMNO dan tidak dipecat daripada UMNO, status mereka ialah digantung. (Peluang bertanding semula), itu bergantung kepada kebijaksanaan Datuk Seri Bung Moktar," katanya.