MELAKA – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Mohd Rafee Ibrahim menafikan dakwaan bahawa 15 pemimpin Cabang Masjid Tanah telah meletak jawatan.
Beliau berkata, setakat ini dirinya tidak menerima sebarang surat rasmi peletakan jawatan tersebut, dan semakan bersama Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh juga memaklumkan perkara yang sama.
"Selaku Pengerusi MPN, saya tidak menerima sebarang salinan surat tersebut. Ia hanya diuar-uarkan melalui media sosial dan semakan dengan Setiausaha Agung juga memaklumkan tidak menerima surat itu.
"Selagi tidak dimaklumkan oleh Setiausaha Agung, saya tidak boleh mengiakan kesahihan peletakan jawatan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Khamis, sebuah portal berita melaporkan bahawa seramai 15 pemimpin PKR yang baharu menang dalam Pemilihan Cabang Masjid Tanah didakwa telah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Maklumat itu diperoleh melalui dua sumber, iaitu PKR Melaka dan ibu pejabat PKR.
Antara 15 pemimpin PKR Cabang Masjid Tanah yang didakwa meletak jawatan itu ialah Timbalan Ketua Cabang, Sunar Misran; Naib Ketua Cabang, Lee Kin Mio serta 13 ahli jawatankuasa (AJK).
Mohd Rafee berkata, jika dakwaan itu benar, kemungkinan pemilihan semula bagi jawatan-jawatan tersebut perlu dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, sebarang perkembangan dan tindakan selanjutnya akan dimaklumkan oleh Setiausaha Agung parti.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, pada Jumaat memberi amaran bahawa jawatankuasa Cabang PKR yang mengugut untuk meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Pemilihan Ketua Cabang baru-baru ini bakal berdepan tindakan tatatertib.
Tindakan itu termasuk disenarai hitam daripada bertanding semula, selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Pejabat Setiausaha Agung.
Beliau memaklumkan bahawa setelah penjelasan diberikan kepada pimpinan cabang, termasuk di Lenggong dan Masjid Tanah, kesemua pemimpin terbabit telah menarik semula hasrat mereka untuk meletak jawatan.
Dalam pada itu, menurut surat yang ditandatangani oleh Sunar, yang mendakwa mewakili 14 individu lain, mereka secara kolektif memutuskan untuk menarik balik peletakan jawatan tersebut.
Surat bertarikh Jumaat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PKR itu menyatakan bahawa keputusan menarik balik peletakan jawatan dibuat selepas rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan setelah menilai semula keadaan di bahagian.