SHAH ALAM – Slogan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’ perlu dijelaskan dengan berhati-hati agar tidak menggugat sifat federalisme Malaysia sehingga membina naratif yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, meskipun tiada halangan untuk mana-mana negeri dalam Persekutuan memelihara dan memperjuangkan hak negeri yang dijamin Perlembagaan, semua negeri wajar memperjuangkan semangat federalisme, bukannya dominasi bersifat individualistik.
Menurutnya, ini kerana sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, rakyat Sabah yang dahulunya merupakan rakyat Raja British telah bertukar status menjadi rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong atau dalam istilah Perlembagaan, warganegara Malaysia apabila dimerdekakan daripada penjajahan.
“Bidang kuasa Sabah dalam menentukan dasar sendiri sudah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dihuraikan dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
“Kerajaan negeri mempunyai hak untuk tentukan hala tuju dalam ruang lingkup digaris oleh Perlembagaan.
“Selaras dengan federalisme Malaysia, wujud rangka kerjasama dan kewajipan kerajaan Persekutuan untuk membangunkan kepentingan bersama semua negeri dalam Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau mengulas berhubung isu keseimbangan antara autonomi negeri Sabah dengan kerjasama Persekutuan, susulan timbulnya sentimen ‘Sabah untuk rakyat Sabah’.
Slogan tersebut menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin politik ketika polemik berhubung kerjasama membentuk ‘Gabungan Mega’ antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sebelum ini menegaskan, sentimen tersebut bukan sekadar slogan politik sementara, sebaliknya merupakan prinsip yang akan terus diperjuangkan.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mengingatkan, hubungan antara Sabah dan Putrajaya seharusnya dibina atas asas hormat dan kesetaraan, bukan kepatuhan membuta tuli.
Katanya, pihaknya akan bekerjasama jika ia membawa manfaat kepada Sabah, namun mereka tidak akan lagi bertolak ansur dengan campur tangan, manipulasi dan eksploitasi.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, setiap negeri mempunyai autonomi selaras dengan prinsip federalisme termasuklah Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas beliau, MA63 menggariskan peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak yang membenarkan takat perbezaan dengan negeri-negeri lain di semenanjung.
Tambahnya lagi, selain peruntukan khas tersebut, kedua-dua negeri itu mestilah menerima setiap peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa diskriminasi dengan negeri-negeri lain.
“Perlu difahami bahawa apabila Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani, maka berlaku pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
"Persekutuan Tanah Melayu kemudian dinamakan Malaysia, dan ikatan federalisme ditakrifkan melalui Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Apa yang termaktub itulah tadbir urus negara. Terma Perjanjian Malaysia 1963 boleh dipinda mengikut kaedah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertua Sabah dan Sarawak masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, asas Perlembagaan sedia ada sudah cukup kukuh dalam mewujudkan titik keseimbangan antara keperluan autonomi Sabah dan kepentingan nasional dalam kerangka struktur asas Persekutuan.
“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mekanisme kerjasama di peringkat Persekutuan yang turut diwakili oleh negeri, daripada peringkat tertinggi seperti Majlis Raja-Raja hinggalah ke peringkat pelaksanaan dalam ketiga-tiga cabang kuasa iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman.
“Keperluan kini adalah bagaimana pihak berkuasa memahami sejarah perundangan negara dan sifat federalisme yang menjadi jati diri Malaysia,” jelas beliau.