Nurul Izzah panglima PKR - Fadhlina

SHAH ALAM – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar disifatkan sebagai panglima parti yang membawa seruan damai untuk semua.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, kredibiliti anak sulung kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak perlu dipertikaikan kerana beliau telah lama bersama membina PKR dalam segala ujian dan kesengsaraan.

Ujarnya, ahli-ahli parti jauh lebih mengenali bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan mengetahui kemampuan beliau yang sentiasa tampil dengan seruan penuh hikmah.

“Kredibiliti beliau tidak perlu dipertikaikan. Ini adalah pentas yang telah beliau lalui bersama dalam membina PKR, dengan segala mehnah (ujian) dan tribulasi (kesengsaraan).

“Beliau tidak pernah hilang, tidak pernah berehat. Malah, seluruh kehidupannya adalah untuk perjuangan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menegaskan bahawa PKR memerlukan seorang tokoh signifikan untuk kembali menerajui parti pada posisi lebih penting, selari dengan iltizam kempen Nurul Izzah ‘Bersama Membina Parti Kita’.

Menurutnya, seruan damai yang dianjurkan oleh Puteri Reformasi itu adalah pernyataan matang daripada seorang pemimpin yang mahu menerajui parti dengan lebih baik.

“‘Bersama Membina Parti Kita’ adalah anjuran tepat yang memperlihatkan komitmen beliau untuk terus bersama anggota akar umbi dalam memperkukuh parti keramat ini.

“Nurul Izzah adalah Nurul Izzah. Panglima Keadilan yang membawa seruan damai untuk semua,” ujarnya.