Semakin banyak suara mahu Rafizi-Nurul Izzah berdebat

SHAH ALAM - Cadangan penganjuran debat antara dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar disifatkan sebagai pendekatan baik untuk membuka ruang pemikiran anggota dan penyokong parti.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR 2025-2028, Mohd Yahya Sahri berkata, bagaimanapun debat secara terbuka dengan kehadiran fizikal penyokong berisiko menimbulkan ketegangan dan keresahan dalam kalangan pendukung kedua-dua pihak.

“Kalau diadakan di dewan terbuka dengan kehadiran penonton secara fizikal, ia boleh menimbulkan keresahan kerana penyokong kedua-dua pihak dikenali dengan sifat fanatik dan kecenderungan yang kuat terhadap pemimpin masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Yahya menyarankan agar debat dilaksanakan secara dalam talian atau melalui format seperti podcast yang tidak membabitkan kehadiran penonton secara langsung.

“Penyokong masih boleh memberi pandangan dan komen di ruang chat tanpa menimbulkan ketegangan secara berdepan.

“Cara ini lebih harmoni dan sesuai dengan suasana parti yang kini menjadi tunjang kerajaan dan negara,” jelasnya.

Beliau turut berpandangan bahawa penganjuran debat ini selari dengan semangat reformasi yang menjadi asas perjuangan PKR.

“Sejak dahulu, Keadilan mendepani isu reformasi dalam pentadbiran, pengurusan dan politik.

"Debat antara Rafizi dan Nurul Izzah akan menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan pemikiran serta hala tuju parti,” ujarnya.

Mohd Yahya juga mengimbas sejarah debat sebelum ini membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama wakil Barisan Nasional termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dilihat memberi impak besar dalam aspek komunikasi politik negara.

“Saya tiada masalah dengan Rafizi mahupun Nurul Izzah. Kedua-dua mereka pemimpin yang dihormati. Namun, yang sering menjadi cabaran ialah penyokong yang terlalu fanatik dan ekstrem dalam menyokong pemimpin masing-masing.

“Jika debat ini dipersetujui kedua-dua pihak dan dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran fizikal penyokong, saya percaya ia akan menjadi pendekatan yang baik dan positif untuk parti serta rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Koordinasi PKR, Iswardy Morni pula menyarankan debat secara terbuka antara kedua-dua pemimpin itu sebagai tanda kematangan budaya politik dalam negara.

Menurut beliau, perdebatan terbuka bukan sesuatu yang asing dan sudah lama diamalkan di negara jiran seperti Indonesia.

“Saya setuju debat diadakan secara terbuka. Pada saya, debat ini adalah sesuatu yang baharu dalam konteks PKR dan wajar kerana ia satu budaya sihat.

“Politik Indonesia sudah lama membudayakan debat. Ia tidak akan memberi ruang kepada musuh untuk memecah-belahkan jika kedua-dua pendebat tahu kaedah dan memahami apa yang wajar dibawa ke meja perdebatan,” katanya.

Iswardy berkata, debat juga dapat membuka ruang kepada rakyat dan anggota parti mendapatkan penjelasan terus daripada kedua-dua calon tanpa bersandar kepada kenyataan sepihak.

“Debat memberi peluang pihak lawan untuk bertanya soalan secara terus kepada pihak satu lagi, sekali gus memberi kefahaman yang lebih menyeluruh kepada rakyat dan ahli parti,” ujarnya.

Terdahulu, calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Prasanth Kumar Brakasam berkata, cadangan debat itu bakal menjadi platform terbaik untuk kedua-dua tokoh menerangkan tawaran, idea serta formula terbaik bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, PH dan PKR sendiri.

Katanya, PKR sebagai parti yang mengangkat kebebasan bersuara perlu menjadikan debat ini sebagai budaya yang sihat.

Jelasnya, debat berkenaan bukan mencari kelemahan Rafizi atau Nurul Izzah termasuk bukan untuk menjadi platform menyerang antara satu sama lain sebaliknya rakyat ingin tahu kewibawaan kedua-dua pemimpin ini.