Persiap Nurul Izzah jadi PM wanita pertama? Belum sampai tahap itu - Fahmi

KUALA LUMPUR - Pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan satu usaha persiapan untuk menjadikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu selaku Perdana Menteri wanita pertama Malaysia pada masa hadapan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pencalonan Nurul Izzah bukan bermakna Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sudah memberi mandat kepada Puteri Reformasi itu untuk menang mudah jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan nanti.

"Kita belum sampai ke tahap itu (MPP merestui Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden dan mungkin diangkat sebagai calon Perdana Menteri Wanita pertama).

"Apa yang penting, pemilihan kali ini adalah satu proses peremajaan parti dengan keperluan PKR mengumpulkan sebanyak mungkin kekuatan dan tenaga baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti," katanya ketika sesi wawancara ekslusif 'Interviu' bersama Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut mengesahkan beliau memilih untuk bertanding jawatan Ahli MPP dalam pemilihan kali ini.

Fahmi berkata, beliau berharap dapat menggunakan segala pengalaman dimiliki termasuk selaku Ketua Penerangan dan Pengarah Komunikasi PKR bagi membantu memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi menjelang PRU16 nanti.

**media[3123700]**

"Kedudukan selaku Menteri Kabinet atau MPP bukan satu kelebihan kepada calon untuk menang sebarang jawatan dalam pemilihan kerana semua perwakilan berhak membuat pilihan masing-masing secara demokrasi dan tanpa sebarang tekanan," katanya.

Terdahulu, Fahmi menegaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa pencalonan Nurul Izzah selaku Timbalan Presiden PKR sebagai amalan nepotisme adalah satu anggapan orang malas berfikir.

Fahmi berkata, Nurul Izzah layak bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana bekas bosnya itu mempunyai pengalaman luas sebagai Ahli Parlimen dan Naib Presiden PKR sehingga sekarang.