KOTA KINABALU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sepakat bahawa aspirasi tempatan perlu menjadi asas rundingan gabungan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tanpa menjejaskan kestabilan dan keharmonian negeri.
Dalam kenyataan bersama kedua-dua presiden parti tersebut, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, UPKO dan PBRS yang mengganggotai gabungan politik kebangsaan pada ketika ini merupakan 'jambatan' bagi Sabah di Putrajaya.
Menurut mereka, kedua-dua parti tersebut memainkan peranan yang sama konsisten dengan parti-parti Sabah yang lain dalam memperjuangkan isu-isu penting di Sabah termasuklah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"UPKO dan PBRS menyuarakan pelbagai isu Sabah dalam platform gabungan politik masing-masing, termasuk di Kabinet. Ini terbukti berkesan dengan sembilan tuntutan di bawah MA63 diselesaikan oleh kerajaan Madani hari ini, manakala empat telah diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.
"UPKO dan PBRS akan terus memperjuangkan tuntutan-tuntutan MA63 yang selebihnya termasuk keperluan pembangunan 'Sabah First' dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), 2026-2030 mengikut pendekatan perundingan dan kerjasama dengan parti-parti lain yang ada di Sabah," kata kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu lagi, perjuangan 'Sabah First' memerlukan kerjasama semua parti politik di Sabah yang harus dijayakan melalui hubungan baik di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri secara perundingan yang bijaksana, bukannya secara konfrontasi.
"UPKO dan PBRS bersetuju bahawa aspirasi tempatan perlu menjadi asas kepada perundingan pembentukan gabungan politik besar di Sabah bagi menghadapi PRN akan datang.
"Namun, ia mesti dilakukan tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat yang penting untuk membangunkan masa depan Sabah serta memperkukuh Persekutuan Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, Ewon dan Arthur berkata, kedua-dua parti tersebut akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah serta
pada masa yang sama ingin menyumbang kepada kesatuan rakyat di negeri ini.