Dilabel anti Islam, khadam DAP, Mujahid minta pemimpin Amanah jaga keselamatan

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khususnya dari Parti Amanah Negara (Amanah) perlu sentiasa berhati-hati dan memastikan keselamatan mereka terjamin.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, parti itu yang kini berdepan pelbagai tohmahan antaranya parti anti-Islam, khadam DAP dan menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berpotensi kena tindakan fizikal atas dorongan kebencian.

"Insiden melibatkan kereta pusat khidmat Ahli Parlimen Seri Gading, Aminolhuda Hassan dirosakkan perlu dijadikan iktibar supaya ahli-ahli yang berhormat lain berjaga-jaga dan berwaspada terhadap potensi tindakan sabotaj pada masa hadapan.

"Walaupun dikatakan pihak yang bertindak memecahkan cermin kereta milik pusat khidmat itu mengalami 'masalah mental', ia tetap satu bentuk ancaman kepada ahli-ahli Parlimen dan ADUN," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan, seorang lelaki berusia 37 tahun telah ditahan di sebuah rumah di Tongkang Pechah bagi membantu siasatan kes merosakkan kenderaan rasmi milik Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading pada Sabtu lalu.

Polis turut merampas sebuah kenderaan, pakaian serta beberapa alat yang digunakan suspek semasa melakukan perbuatan khianat itu selain hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam pada itu Mujahid turut menzahirkan kekhuatiran mengenai persepsi yang salah terhadap Amanah akan mendorong pihak lain menanam politik kebencian di media sosial.

Secara tidak langsung menurutnya, perbuatan itu akan melahirkan tindakan fizikal ke arah keganasan.