JOHOR BAHRU – Veteran UMNO Johor menegaskan bahawa agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dikekalkan berdasarkan keputusan pilihan raya lalu.
Naib Pengerusinya, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan wajar berpegang pada status quo PRN Johor 2022.
“Pandangan dan pendirian Veteran UMNO Johor adalah tegas, iaitu berpegang kepada prinsip keputusan PRN yang lepas. Pembahagian kerusi adalah status quo untuk PRN yang akan datang.
“Jika tidak capai kata sepakat, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dibenarkan bertanding demi menghormati dan menjunjung demokrasi. Kemudian, setelah ada keputusan pilihan raya kelak, barulah berunding untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah yang mahu UMNO menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat dan tidak melayan polemik PRN.
Pada Sabtu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain menggesa Pakatan Harapan (PH) negeri menetapkan pendirian sama ada akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau bertanding secara solo.
Katanya, perkara itu penting bagi memudahkan perancangan gerak kerja PRN yang dijangka berlangsung seawal tahun depan.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRN.