Amanah gesa rundingan kerusi PRN Melaka dibuat secara adil

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa agar rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang dilakukan secara adil dan tidak berfokus pada satu negeri semata-mata.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pengagihan kerusi tidak wajar dilakukan secara berasingan hanya untuk Melaka tanpa mengambil kira rundingan kerusi di peringkat nasional dan negeri-negeri lain yang turut akan berdepan pilihan raya.

“Misalnya, kami beri kerusi kepada BN di Selangor, maka sewajarnya BN juga beri laluan kepada PH di Melaka.

“Kalau runding hanya fokus kepada satu negeri, nanti bila masuk negeri lain mereka tuntut lebih banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bersama Warga KADA di Lundang di sini pada Ahad.

Kenyataan itu sebagai respons kepada laporan media berbahasa Cina bertajuk ‘Sembilan Cawangan DAP Melaka Meluluskan Resolusi Strategi 14 BN 14 PH pada PRN Melaka Akan Datang’, melibatkan sembilan cawangan seperti Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan bahawa BN tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi yang dimenangi kepada PH pada PRN lalu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, hanya rundingan kerusi secara menyeluruh di seluruh negara boleh memastikan tiada pihak merasa dirugikan.

“Kita tidak mahu satu pihak terus dapat manfaat, satu pihak lagi terpaksa beralah. Rundingan perlu berlaku dengan semangat saling memberi dan menerima demi kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan antara PH dan BN, termasuk di peringkat Kerajaan Perpaduan akan kekal kukuh sekiranya rundingan dibuat secara matang dan kolektif.