Ahli UMNO perlu berhenti tanam syak wasangka - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Ahli UMNO perlu berhenti menanam syak wasangka dan bangkit memperteguhkan kepercayaan terhadap setiap keputusan yang dilaksanakan oleh pimpinan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu yakin segala keputusan besar diambil bukan berdiri atas satu bahu tetapi lahir daripada musyawarah kolektif kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti berkenaan.

"Setiap keputusan pasti mendatang cabaran, pasti ada yang tercalar, pasti ada yang tercela, tetapi percayalah selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan dikhianati selagi kepercayaan kalian semua berikan.

"Namun saya tahu, masih ada di antara kita yang hatinya diselimuti keraguan, masih ada yang terbuai dalam alunan sentimen dan bisikan," katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 dan Konvensyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, beliau sedar keputusan membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih menjadi bahan tohmahan dan percakapan.

Menurutnya, masih ada yang mempertikai keikhlasan parti selain ada pihak menghasut rakyat dengan naratif UMNO kini tunduk kepada DAP.

"Hakikatnya ini bukan persekongkolan eksklusif, ia adalah keputusan kenegaraan.

"Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS, GRS, Warisan dan lain-lain. Ia adalah kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan," tegasnya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan rakan gabungan dan parti lawan untuk sentiasa menjaga batas sempadan dalam menyuarakan pandangan atau kenyataan.

Ini kerana dalam dunia yang sarat dengan perpecahan dan prasangka menurutnya, ada pihak yang bersemangat meniupkan api ekstremisme di segenap lapisan.

"UMNO mesti teguh sebagai nakhoda politik kesederhanaan kerana melaluinya, parti akan kembali menjadi sandaran bukan hanya buat bangsa Melayu tetapi buat seluruh rakyat.

"Tetapi pesan saya buat kawan atau lawan, jangan meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan. Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati akan menjulang menjadi bara.

"Bila ia marak, panasnya tidak tertahan, nyalanya tak terelak, bimbang ia membakar semua tanpa memilih rupa dan badan," ujarnya.