Kaji semula keputusan tamatkan tajaan ke Timur Tengah - Pemuda Pas

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menggesa agar keputusan untuk menamatkan penajaan pelajar peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah dikaji semula secara terbuka, inklusif dan tidak berpaksikan sangka buruk.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, sesi libat urus perlu dibuat dengan alumni Timur Tengah, tokoh akademik, asatizah serta institusi berkepentingan agar keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan maslahat umat dan bukan hanya ketakutan persepsi.

Menurutnya, membataskan penajaan hanya kepada dalam negeri disebabkan pengaruh luar merupakan alasan yang terlalu umum dan tidak disertakan dengan bukti sahih serta memberi gambaran bahawa Timur Tengah adalah pusat ancaman, sebaliknya bukan pusat keilmuan.

“Pemuda Pas Selangor menzahirkan kebimbangan dan kekecewaan terhadap keputusan ini kerana Timur Tengah jantung ilmu Islam.

"Universiti al-Azhar, Universiti Yarmouk dan Universiti Zaitunah sekian lama menjadi medan menimba ilmu yang mendalam, menyeluruh dan bersanad.

“Ramai tokoh ulama Malaysia termasuk mufti, profesor, pensyarah, dan penggerak dakwah negara yang lahir dari rahim keilmuan Timur Tengah.

“Alasan pengaruh luar merupakan satu persepsi yang tidak adil dan boleh menghakis rasa hormat generasi muda kepada pusat-pusat ilmu Islam yang telah berperanan sejak ratusan tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini dilaporkan, kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak lagi meneruskan penajaan pelajar peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah berkuat kuasa pada tahun ini kecuali bagi program peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan, penajaan ijazah pertama hanya akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan.

Menurut beliau, ketetapan itu dibuat bagi mengurangkan risiko pelajar jurusan pengajian Islam terdedah dengan pengaruh dan anasir yang mengganggu pemikiran serta jati diri mereka di Timur Tengah.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, pihaknya tidak menolak keperluan memperkukuh institusi dalam negeri seperti UIS, namun ia tidak seharusnya dilakukan dengan melemahkan peluang anak Selangor untuk menjadi sebahagian dari warisan keilmuan Islam dunia.

“Ini bukan soal kompetisi antara UIS dan Timur Tengah, tetapi keterbukaan dan kebijaksanaan dalam melahirkan ulama dan pemimpin masa depan. Kami juga risau terhadap kesan jangka panjang dasar ini terhadap kefahaman Islam di Malaysia.

“Islam yang terbina atas kefahaman yang luas dari pelbagai sumber dunia Islam adalah benteng terhadap ekstremisme dan liberalisme. Menyekat akses kepada Timur Tengah boleh membawa kepada kejumudan atau sekularisasi yang halus.

“Islam tidak berkembang dengan dasar mengurung ilmu, tetapi dengan dasar membuka jalan kepada keilmuan. Biarlah anak-anak muda kita diberi peluang menyelami keluasan dunia Islam dari pelbagai penjuru, dengan bimbingan dan sokongan yang jelas,” ujarnya.

Tambah Mohamed Sukri Omar, Pemuda Pas Selangor tetap teguh memperjuangkan masa depan pendidikan Islam yang menyeluruh, terbuka dan berpaksikan wahyu serta warisan para ulama muktabar dari Timur hingga Barat.