SHAH ALAM - Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mencabar Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya memecatnya daripada parti itu sekiranya kepimpinan benar-benar berhasrat mengambil tindakan terhadap beliau.
Wong Chen menegaskan bahawa tidak perlu menunggu beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen, sebaliknya parti boleh terus memecatnya jika mempunyai alasan berbuat demikian.
"Tak perlu tunggu saya letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, pecat saya sahaja," katanya dalam satu hantaran Faceboook pada Isnin.
Dalam hantaran sama, Chen turut memuat naik video ketika beliau hadir dan berucap pada program Jelajah Kancil Negeri Sembilan dianjurkan Parti Bersama Malaysia.
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Subang itu mendedahkan menerima surat tunjuk sebab daripada Biro Disiplin PKR kerana menghadiri program hala tuju bekas Timblaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli pada Mei lepas.
Dalam video berdurasi kira-kira 46 saat itu, Wong Chen turut mengulangi cabarannya supaya PKR mengambil tindakan displin terhadap dirinya.
“Kalau berani, tak payah suruh saya meletak jawatan. Dia nak suruh saya meletak jawatan, dia pun takut. Nanti enam ahli parlimen keluar, dia hampus (habis) ," katanya.
Chen menambah, beliau masih boleh terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen untuk rakyat Subang sekiranya dipecat daripada PKR.
Ahli Parlimen Subang itu dilapor menjadi salah seorang daripada enam Ahli Parlimen PKR yang menghadiri program Hala Tuju Politik Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Lima lagi yang lain ialah Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).