SHAH ALAM – Pas mempersoalkan dakwaan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar direhatkan daripada tugas sebagai pengulas sukan bagi siaran Piala Dunia 2026 selepas beliau diumumkan menyertai parti itu pada Sabtu lalu.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya melahirkan rasa dukacita selepas menerima perkhabaran bahawa Azlan direhatkan daripada tugasnya sebagai pengulas sukan bagi siaran kejohanan berkenaan.
Menurut beliau, Pas ingin mengetahui sama ada tindakan tersebut, jika benar berlaku, mempunyai kaitan dengan penyertaan Azlan ke dalam parti itu yang diumumkan di Seremban pada 13 Jun lalu.
“Pas berharap semua pihak yang berkaitan termasuk Kerajaan Malaysia dan agensi-agensi di bawahnya menghormati serta tidak merampas hak asasi seseorang warganegara termasuk hak untuk berpersatuan dan berpolitik seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Takiyuddin berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar, tindakan berkenaan bukan sahaja menafikan hak individu untuk berpolitik, malah boleh memberi kesan kepada dunia penyiaran sukan tanah air.
Menurutnya, Azlan mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran sukan dan pernah menjadi pengulas serta penganalisis bagi lebih 10 edisi Piala Dunia sepanjang kerjayanya.
“Azlan Johar bukan sahaja bekas penyerang prolifik pasukan negeri dan kebangsaan sekitar era 1980-an, malah beliau memiliki lesen kejurulatihan bola sepak tahap tinggi serta kini memegang jawatan Pengerusi Yayasan Lagenda,” katanya.
Sementara itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menafikan dakwaan bahawa Azlan direhatkan daripada tugas sebagai pengulas susulan penyertaannya dalam Pas.
Mengulas persoalan yang dibangkitkan Takiyuddin, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, dakwaan tersebut tidak berasas kerana Azlan masih diberi ruang untuk muncul dalam siaran rasmi RTM sempena kejohanan berkenaan.
Pada Sabtu lalu, Azlan merupakan antara 15 individu yang diumumkan menyertai Pas dalam program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di Seremban. Turut menyertai parti itu ialah bekas menteri, Zaid Ibrahim dan bekas Exco Negeri Sembilan, Mohamad Rafie Malek.