Formula Akmal Saleh tak bantu proses rundingan kerusi - AMK

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) tidak layak memperoleh kerusi dengan bilangan tiga kali ganda lebih banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu jika formula enggan menyerahkan mana-mana kerusi dimenangi kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang dijadikan asas rundingan.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, kenyataan tegas dibuat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh itu seolah-olah mencerminkan keengganan pihaknya untuk mengambil kira prestasi semasa iaitu salah satu faktor penting yang patut dijadikan asas.

Beliau berkata, ia termasuk keputusan pilihan raya pasca PRN Melaka, kekuatan jentera, penerimaan rakyat setempat dan potensi kemenangan dalam menentukan agihan kerusi.

“Lebih parah lagi, BN mungkin tidak layak menerima walau satu kerusi pun dalam agihan PRN Selangor dan Pulau Pinang yang lalu.

"Ini memandangkan tiada kerusi dimenangi mereka dalam Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri tersebut jika mahu dinilai prestasi pilihan raya terkini sekiranya formula beliau diguna pakai.

“Pendekatan keras dan bersifat dominasi seperti ini langsung tidak menambah nilai terhadap mana-mana perbincangan politik, apatah lagi usaha membina muafakat dalam Kerajaan Perpaduan,“ katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dilaporkan berkata, BN yang mendominasi DUN Melaka ketika ini tidak akan menyerahkan kerusi dimenangi pada PRN lalu kepada PH termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut menambah, semasa rundingan menjelang PRN lalu, PH sukar untuk bersetuju memberikan kerusi yang dimenangi parti komponennya kepada BN.

Dr Muhamad Akmal berkata demikian sebagai respons kepada laporan akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘Sembilan Cawangan DAP Melaka Meluluskan Resolusi Strategi 14 BN 14 PH pada PRN Melaka Akan Datang’.

Terbaharu, Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) menyelar tindakan Dr Muhamad Akmal yang menolak cadangan agihan kerusi 14 -14 dalam kerajaan campuran negeri Melaka.

Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda menyifatkan kenyataan sedemikian langsung tidak mencerminkan semangat muafakat dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, Dr Muhamad Akmal bersifat angkuh dan tidak sensitif terhadap usaha memperkukuh kestabilan politik demi kepentingan rakyat Melaka.