KAMPAR – Sekurang-kurangnya sembilan tokoh dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Perak bertanding bagi merebut jawatan tertinggi parti di peringkat pusat sempena pemilihan hujung bulan ini.
Antara yang menawarkan diri termasuklah Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan veteran parti, Mustafa Kamil Ayub bagi jawatan Naib Presiden PKR.
Enam pemimpin lagi termasuk Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah merangkap Exco Kerajaan Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi.
Tidak ketinggalan juga ADUN Hutan Melintang, S Wasanthee yang ingin mencabar kedudukan Naib Ketua Wanita PKR manakala Ketua PKR Cabang Padang Rengas, Muhammad Kamil Abdul Munim bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Bagi Mohd Azlan yang juga Timbalan Pengerusi PKR Perak, hasratnya untuk bertanding jawatan MPP PKR merupakan kali pertama dibuat sejak menyertai parti itu pada 2007.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mendapat sokongan akar umbi dan kepimpinan negeri termasuk Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri serta pencadangnya, Muhammad Kamil.
“Saya rasakan sudah tiba masanya untuk saya menyumbang idea dan tenaga kepada organisasi parti di peringkat pusat.
"Selain menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi negeri dan Timbalan Ketua Cabang Kampar, saya juga merupakan Exco Kerajaan Negeri yang diberi mandat serta kepercayaan oleh parti,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini pada Sabtu.
Mohd Azlan berkata, langkah tersebut adalah komitmennya dalam membantu memperkukuh struktur parti di samping menyokong kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PKR memiliki teras perjuangan yang jelas untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik melalui pentadbiran berintegriti dan tata kelola yang baik. Saya percaya Anwar sedang menggerakkan agenda ini.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi. Sama ada dipilih atau tidak, saya akan terus berkhidmat untuk parti dan rakyat. Yang penting adalah semangat untuk membantu memperkukuhkan parti,” ujarnya.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan bekas Setiausaha PKR Perak selama dua penggal itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan pemilihan kepada perwakilan.
Mengulas pencalonan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohd Azlan menyatakan sokongan penuh terhadap anak sulung Perdana Menteri itu.
“Saya secara peribadi gembira dan menyokong penuh kepimpinan Nurul Izzah.
"Namun saya serahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk membuat keputusan pada penghujung Mei nanti,” katanya.