SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Keputusan muktamad berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara prinsipnya gabungan dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mengekalkan kerusi yang telah dimenangi dalam PRN Melaka lalu.
"Prinsip asas disepakati pimpinan BN dan PH, kerusi-kerusi dimenangi kekal dengan parti tersebut.
"Di Melaka BN kekal 21 kerusi, PH kekal lima kerusi manakala dua kerusi PN (Perikatan Nasional) akan dirunding," katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, DAP Melaka menegaskan bahawa cadangan pembahagian kerusi 14-14 antara BN dan PH untuk PRN akan datang hanyalah usul yang dibincangkan serta diluluskan pada peringkat cawangan sahaja dan bukan di peringkat negeri.
Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, tiada sebarang rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dijalankan setakat ini kerana perkara tersebut biasanya diuruskan oleh kepimpinan tertinggi parti melalui perbincangan antara parti komponen.
Menurutnya, cadangan pembahagian kerusi itu dibuat berdasarkan prestasi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menunjukkan sokongan kuat pengundi di Melaka.
Tambah Asyraf, prinsip berkenaan telah digunakan dalam PRN lalu dan telah disepakati dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PH-BN.
"Ketika ini lebih baik fokuskan segala usaha dan upaya untuk menangani pelbagai isu-isu untuk membantu rakyat dan memakmurkan negeri serta negara.
"Insya-ALLAH bila tiba masanya, kepimpinan akan mulakan perundingan dan perbincangan mengenainya," katanya.