SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan hasrat untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.
Aminuddin berkata, beliau menawarkan diri bertanding untuk bersama-sama membina parti lebih kuat dan mantap yang akan terus menjadi harapan rakyat.
"Pentas Pemilihan PKR 2025 adalah medan persaingan sihat yang perlu dilihat dan dirangkum dalam perspektif luas dalam mendepani cabaran politik tanah air dan memenuhi harapan rakyat.
"Segala daya upaya yang ada dan segenap kekuatan setiap pendokong perjuangan reformasi perlu dirangkum untuk memperkukuh parti, memperluas sokongan rakyat dan menyumbang secara aktif dalam memastikan parti kekal sebagai parti masa depan rakyat, " katanya menerusi kenyataan.
Katanya, kepimpinan yang dipilih perlu komited menjadi jambatan akar umbi dengan pimpinan tertinggi parti selain memperkukuh struktur organisasi serta memacu agenda reformasi yang menjadi tunjang perjuangan.
"Saya yakin dan percaya Pemilihan PKR 2025 bukan sekadar soal pengisian jawatan, tetapi satu peluang untuk kita memperkukuh asas perjuangan parti, menyemarakkan semula semangat reformasi dan merapatkan pasukan menghadapi cabaran mendatang, termasuk Pilihan Raya Umum akan datang.
"Ayuh kita teruskan kesinambungan kepimpinan berprinsip, inklusif dan progresif yang amat penting dalam memastikan PKR terus melangkah ke hadapan sebagai parti pelbagai kaum yang benar-benar mewakili suara rakyat," katanya.