RoS gantung aktiviti PN: Cabaran besar buat parti lain selain Pas

SHAH ALAM - Parti-parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) selain Pas berkemungkinan paling terkesan sekiranya penggantungan aktiviti gabungan itu berpanjangan, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, parti seperti Parti Wawasan Negara (Wawasan), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berdepan cabaran lebih besar sekiranya platform PN tidak dapat digunakan untuk menghadapi pilihan raya.

“Bagi parti-parti ini, PN bukan sahaja menyediakan satu simbol bersama tetapi turut menjadi medan untuk rundingan kerusi, penyelarasan kempen dan pembentukan imej sebagai sebahagian daripada blok politik yang lebih besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, keadaan itu berbeza bagi Pas yang mempunyai logo, identiti, struktur organisasi dan jentera akar umbi sendiri serta kelompok penyokong tersendiri.

“Kesan penggantungan PN tidak akan dirasai secara sama rata oleh semua parti komponennya. Pas berada dalam kedudukan relatif lebih kukuh kerana parti itu telah lama terbentuk.

“Pas juga mempunyai kelompok penyokong tersendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada jenama PN untuk bergerak dalam pilihan raya,” katanya.

Justeru, menurut beliau, penggunaan logo dalam PRN Melaka menjadi antara perkara paling segera yang perlu diputuskan sekiranya status PN masih belum diselesaikan menjelang penamaan calon.

Sebelum ini, RoS mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa pada 23 September lepas di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September 2026.

RoS menegaskan pendaftaran PN tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan itu kini dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.

Mohamad Hafis berkata, dalam sistem politik Malaysia yang semakin berasaskan pembentukan gabungan, bergerak secara bersendirian bukan perkara mudah, khususnya bagi parti yang mempunyai kekuatan terhad di peringkat nasional atau negeri.

Sekiranya keadaan tersebut berpanjangan, beliau berkata, parti-parti dalam PN mungkin terpaksa mempertimbangkan bentuk kerjasama pilihan raya yang lebih longgar berbanding gabungan formal.

“Kerjasama sedemikian boleh diwujudkan tanpa satu gabungan rasmi. Parti-parti masih boleh berunding mengenai pembahagian kerusi, mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan menyelaraskan sebahagian strategi kempen.

“Bagaimanapun, tanpa satu struktur gabungan yang jelas, persoalan seperti siapa mengetuai rundingan, bagaimana kerusi diagihkan, siapa menentukan calon dan bagaimana pertikaian diselesaikan boleh menjadi lebih rumit,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub juga berkata, parti-parti berkenaan selama ini bergantung kepada jenama PN sebagai payung bersama untuk membina pengenalan, keyakinan pengundi dan kekuatan jentera.

“Berbeza dengan Pas, parti-parti kecil lebih terdedah kepada kehilangan keterlihatan politik serta kesukaran menjelaskan kedudukan mereka kepada pengundi.

“Namun, penggantungan PN tidak membatalkan pendaftaran parti-parti komponen tersebut sebagai entiti politik yang berasingan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, dalam jangka masa terdekat menjelang PRN Melaka, keutamaan PN adalah menyelesaikan isu berkenaan melalui representasi kepada RoS dan proses perundangan.

Pada masa sama, katanya, PN juga perlu menyediakan pelan kontingensi sekiranya penggantungan berkenaan masih belum diselesaikan.

“Antaranya ialah bertanding menggunakan logo parti komponen yang dipersetujui, khususnya logo Pas jika terdapat persetujuan politik yang jelas atau menggunakan logo parti masing-masing dengan kempen serta manifesto bersama secara tidak rasmi.

“Namun, penggunaan logo Pas bukan sekadar isu teknikal tetapi melibatkan rundingan kerusi, penerimaan akar umbi Pas dan persoalan parti mana yang akan menjadi wajah utama gabungan itu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya penggantungan itu berterusan, PN akan berdepan masalah besar dari segi identiti, penyelarasan jentera dan rundingan kerusi.

“Parti-parti tersebut mungkin masih boleh bekerjasama melalui persefahaman politik atau pakatan pilihan raya tidak formal tetapi ia tidak sepenuhnya menggantikan nilai sebuah gabungan berdaftar yang mempunyai simbol, struktur dan naratif bersama.

“Dalam konteks persaingan pelbagai penjuru, bergerak secara bersendirian memang berisiko memecahkan undi.

“Justeru, satu formula kerjasama sementara atau platform baharu mungkin diperlukan tetapi mesti dibina atas persetujuan yang kukuh dan bukan semata-mata tindak balas tergesa-gesa terhadap krisis,” katanya.