IPOH – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin digesa memainkan peranan lebih aktif bagi meredakan ketegangan yang melanda parti itu ketika ini.
Ketua Bersatu Bahagian Taiping, Kader Maidin Hussain berkata, gesaan itu dibuat susulan kenyataan-kenyataan terbuka beberapa pemimpin yang didakwa boleh menjejaskan imej parti berkenaan.
Menurutnya, sebagai orang nombor dua dalam parti, Hamzah berperanan penting untuk memastikan perpaduan dan kestabilan dalam kalangan kepimpinan serta ahli Bersatu sentiasa terpelihara.
“Beliau (Hamzah) pernah menyebut bahawa beliau adalah penyokong nombor satu presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka sepatutnya beliau menegur dan menghentikan pengikut-pengikutnya daripada terus mengeluarkan kenyataan yang merosakkan imej parti serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli.
“Kalau pemimpin-pemimpin parti benar-benar sayangkan parti, mereka mesti menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan dan menjaga perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kader Maidin berkata, semua pihak perlu memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti, Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan untuk menguruskan sebarang isu dalaman termasuk pelanggaran perlembagaan serta disiplin parti.
Beliau turut menegur tindakan dua pemimpin parti yang dikenakan tindakan disiplin, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang didakwa sering menggunakan nama Pas untuk mempertahankan tindakan mereka.
“Lebih pelik, mereka bercakap seolah-olah jurucakap Pas. Ini tindakan tidak wajar dan boleh menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional.
“Wajar juga ada penjelasan daripada Pas berhubung dakwaan mereka,” ujarnya.
Beliau menegaskan, semua pemimpin dan ahli perlu menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan parti di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bersama-sama menjaga perpaduan demi maruah dan kekuatan Bersatu.